Followers

Thursday, March 25, 2010

Sekolah lestari

Oleh Khairina Yasin
2010/03/25
115 peserta bertanding rebut Anugerah Alam Sekitar SEJUMLAH 115 sekolah iaitu 46 rendah dan 69 menengah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam Program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) bagi sesi 2009/2010.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dr Ir Shamsudin Ab Latif, berkata Sarawak dan Johor mencatat penyertaan paling tinggi, masing-masing 27 dan 28 sekolah. Beliau berkata, ini diikuti Sabah (11), Selangor dan Kedah (tujuh), Pulau Pinang dan Kelantan (enam), Kuala Lumpur dan Perak (lima), Negeri Sembilan (empat), Melaka dan Pahang (tiga), Terengganu (dua) dan Perlis (satu).
Daripada jumlah itu, katanya 67 peratus adalah penyertaan baru dan perkembangan itu menunjukkan minat dan keyakinan sekolah terhadap kelebihan program berkenaan dalam memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan pelajar. “Proses penilaian peringkat negeri bermula April ini selama dua bulan yang dilaksanakan panel penilai dan pemilih dilantik. “Pembahagian peratus pemarkahan sama seperti sebelum ini iaitu 40 peratus dokumen dan baki 60 peratus (lawatan lapangan) sebelum penilaian peringkat kebangsaan diadakan pada pertengahan Julai,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program SLAAS di Putrajaya, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Zulkifly Mohd Wazir.
Sehingga kini, Shamsudin berkata, program yang diperkenalkan pada 2005 itu disertai 254 sekolah seluruh negara. Beliau menjelaskan, JAS turut merangka perancangan strategik ke arah melestarikan yang kini memasuki sesi ketiga. Katanya, perancangan itu termasuk menerbitkan buku bersiri iaitu Siri Menjejak Kelestarian” bermula dengan proses pengumpulan data dan maklumat penganjuran program bermula sesi I hingga III. “Kajian penambahbaikan khususnya berkaitan kriteria pelaksanaan dan penilaian juga akan dijalankan pada tahun ini bagi mewujudkan kriteria baru untuk diguna pakai pada sesi akan datang. “Perancangan ini penting bagi memastikan kelestarian program.
Usaha ini menuntut kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan bagi menjayakan program ini. “Malah, kita dapat lihat kemajuan dalam penganjuran program ini apabila wujud peningkatan dari segi jumlah penyertaan sekolah setiap sesi,” katanya. Program SLAAS bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar membabitkan empat komponen iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.
Penganjur menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai RM20,000 bagi pemenang anugerah setiap kategori sekolah rendah dan menengah. Peserta terpilih berpeluang mendapat pengiktirafan Pensijilan Khas Sekolah Lestari dan Pensijilan Sekolah Lestari Peringkat Negeri dan hadiah wang tunai RM2,000.

No comments: