Followers

Wednesday, August 4, 2010

Bila guru berpolitik

Guru berpolitik dikhuatiri lemahkan sistem pendidikan
Oleh Norliza Abdullah
rencanabh@bharian.com.my




PADA peringkat awal kewujudan Umno, malah parti lain termasuk pembangkang, peranan guru dalam masyarakat amat diperlukan untuk menggerak kegiatan politik di akar umbi. Golongan pendidik pada era 1960-an, 1970-an, malah awal 1980-an, dilihat sebagai sandaran politik akar umbi.

Pada zaman itu, guru dilihat sebagai bijak pandai di luar bandar dan pembabitan mereka dalam politik juga berupaya menarik sokongan orang ramai. Mereka dihormati bukan saja di sekolah, malah di dalam masyarakat tempat mereka mengajar. Jika ada kenduri-kendara, guru diiringi untuk duduk di saf hadapan bersama imam, penghulu dan sebagainya. Jika ada anak lulus atau gagal peperiksaan umum, ibu bapa
datang menemui guru tanpa mengira waktu untuk meminta nasihat apa tindakan yang boleh dilakukan seterusnya untuk anak mereka. Tidak hairanlah, jika mereka bertanding jawatan tertentu dalam parti politik di peringkat bawahan, mereka mudah menang.

Namun, senario itu berubah sejak akhir 1980-an dan sejak itu juga jumlah guru yang menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno mula berkurangan. Tempat mereka juga semakin berkurangan dalam Umno, termasuk memegang jawatan peringkat bahagian.

Ini juga ada kaitan dengan larangan kerajaan supaya guru siswazah tidak dibenar bergiat aktif dalam politik. Sebaliknya, guru bukan siswazah dibenar berpolitik dengan syarat mendapat kebenaran daripada pengetuadan guru besar masing-masing. Kini, ruang itu mahu dibuka semula kepada guru, jika cadangan yang dilontarkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diterima.

Hishammuddin, selaku Naib Presiden Umno yang baru dalam ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu mencadangkan pendidik, terutama guru dalam Kumpulan A diberi kelonggaran dan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kepakaran golongan itu dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi parti kerana beliau amat mengiktiraf sumbangan guru bukan saja dalam bidang pendidikan, malah peranan yang mereka mainkan dalam perjuangan politik tempatan sejak negara merdeka. Cadangan itu perlu diperhalusi bagi memastikan saranan berkenaan mewujudkan situasi 'menang-menang' di kalangan mereka yang terbabit. Bagaimana pula andainya guru yang dibenar aktif berpolitik itu lebih cenderung kepada parti pembangkang? Bagaimanapun, cadangan itu secara dasarnya memerlukan perbincangan serta penelitian
mendalam semua pihak terutama agensi pelaksana iaitu Kementerian Pelajaran dan juga pertubuhan yang dianggotai golongan pendidik seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata statistik Kementerian Pelajaran sehingga Januari 2009 mencatatkan sejumlah 354,933 guru seluruh negara kini berkhidmat di 9,762 sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Daripada jumlah itu, beliau berkata 213,742 guru mengajar di sekolah rendah dengan 55,385 daripada mereka adalah daripada kategori guru Kumpulan A. Bagi guru sekolah menengah pula, katanya, 141,209 dan daripada jumlah itu hanya 14,040 iaitu bersamaan kira-kira 10 peratus daripada mereka adalah bukan guru Kumpulan A.

Ini bermakna jika guru kumpulan berkenaan dibenar menyertai politik ia memberi peluang kepada seramai 182,554 mengasah bakat mereka menjadi pemimpin pelapis generasi akan datang selain melaksanakan tugas sebagai pendidik. Walau apa pun jumlahnya, Alimuddin berkata yang pasti cadangan itu masih pada
peringkat perancangan yang masih dalam usul yang akan dibahaskan bagi mendapat pandangan semua pihak sebelum ia dilaksanakan. Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Tetapi Hishammuddin yakin cadangan itu dilihat selain dapat meningkatkan jumlah keahlian anggota sesebuah parti, ia dapat memimpin semula anak muda yang terdiri daripada guru lepasan universiti yang mewarisi pergerakan politik akan datang. Beliau melihat guru yang terdiri daripada graduan lepasan universiti dalam dan luar negara yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) memiliki kelulusan profesional dapat dioptimumkan bagi memperkasakan sesebuah parti selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak. Bagi memastikan segala usul dan pelaksanaannya berjalan lancar, Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata pelaksanaannya memerlukan penelitian serta kawalan bagi memastikan kelonggaran tidak disalahguna.

Beliau berkata, pastikan setiap permohonan guru yang bercadang bergiat aktif itu datangnya daripada guru besar mahupun pengetua dan keputusan adalah tertakluk kepada budi bicara pentadbir bagi memastikan guru berkenaan dapat membahagikan masa dengan sebaik mungkin.

"Kami di NUTP mengharapkan jika persetujuan dicapai ia hendaklah membabitkan guru yang berada pada gred DG41 hingga DG48 (guru siswazah biasa). Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas di tempat kerja terjejas dengan aktiviti tambahan di luar.

"Pembabitan guru lebih tinggi grednya yang juga memegang jawatan penting dalam sesebuah jabatan dilihat bakal menimbulkan pelbagai masalah termasuk wujudnya konflik hingga mengganggu struktur sesebuah organisasi," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada peringkat kementerian juga, Loke berkata, diharapkan kelonggaran itu dapat dikawal dengan menyediakan garis panduan jelas kepada guru yang bercadang menyertai politik supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan. Dalam perkembangan berkaitan, ahli antropologi sosial Universiti Putra Malaysia, Dr Sarjit Singh Gill, berkata cadangan itu seolah-olah menggambarkan ahli politik sedia ada gagal melaksanakan tugas hingga mereka terpaksa mendapatkan khidmat guru dalam meneruskan kelangsungan perjuangan.

Guru, katanya, mempunyai tanggungjawab yang diamanahkan dalam melaksanakan dasar pendidikan negara dan bukan sebagai mempertahankan agenda politik negara. "Kebenaran yang diberikan kepada guru Kumpulan A juga tidak tepat kerana golongan ini adalah mereka yang ditugaskan menjana idea memastikan sektor pendidikan lebih maju. Dikhuatiri jika kita mengambil ruang ini dan membenarkan mereka berpolitik, akan menjejaskan tugas dan melemahkan sistem pendidikan," katanya.

Adalah wajar jika kerajaan mengkaji semula saranan berkenaan kerana institusi pendidikan negara tidak mahu kehilangan guru yang banyak menyuntik wadah serta semangat untuk anak bangsa mendapatkan bimbingan yang juga bakal pemimpin masa depan.

No comments: